Salam buat pembaca budiman, saya ingin kongsikan satu artikel yang baik
tulisan saudara Hishamuddin Rais, seorang aktivis yang sentiasa peka dengan
politik dunia dan tempatan. Saya kongsikan ini bukan sebab nak sebarkan
sebarang dakyah politik tetapi hendak bawa kita semua sekurang-kurangnya faham
mengapa Amerika begitu bersungguh hendak kekalkan kuasanya dan mengapa kita
harus berhati-hati dengan kelemahan wang fiat. Jika anda fahami artikel ini,
tentu anda tidak akan tertangguh lagi untuk mulakan simpanan 'the real money'
iaitu emas. Jemput baca ya. Semoga kita semua diberi kefahaman dan
dipermudahkan urusan untuk langkah pertama kita.
Yang Retak Akan Meledak oleh Hishamuddin Rais
Tahun 2016 baru sahaja masuk hari yang ke-13. Kali ini saya akan membawa
surah dan ayat songsang kepada para pembaca. Saya bukan berniat untuk
menakut-nakutkan pembaca. Saya juga tidak ada niat untuk menyesatkan pembaca.
Tulisan saya hanya bertujuan untuk memberi ingatan dan pencerahan.
Kita lalui tahun 2015 dengan penuh keperitan – harga barang melambung,
perbelanjaan harian untuk hidup mendadak naik. Pada tahun 2015 dahulu apa
sahaja yang kita usik - semua harganya terus berubah-ubah menjadi lebih tinggi.
Walaupun harga bahan bakar petrol turun tapi ianya tidak membawa apa-apa
makna hakiki. Ini kerana tangga gaji dan pendapatan kita masih di tahap lama.
Awas, tahun 2016 ini tidak akan menjanjikan keselesaan hidup. Tahun 2016 ini
akan dirasai lebih perit dari perit. Akan dirasai lebih susah dari susah. Kos
untuk hidup akan terus naik. Harga bahan makanan akan mendadak naik. Satu demi
satu subsidi ditarik. Justeru tahun 2015 dan tahun-tahun sebelumnya akan
dilihat dengan nostalgia, penuh dengan kemeriahan saperti musim buah yang
lumayan.
Untuk memahami apa yang akan terjadi kepada Malaysia kita wajib memahami apa
yang sedang berlaku di luar Malaysia. Babak-babak politik luar negara sama pentingnya dengan babak-babak politik
yang berlaku di hadapan mata kita. Malah kadang kala apa yang berlaku di luar
negara lebih penting dari apa yang berlaku di parlimen kita.
Gagal memahami hakikat ini maka kita akan gagal memahami apa yang sedang
menampar muka kita. Jika kita tidak memahami politik dunia maka bacaan politik
dalam negara kita akan tersasul dan salah baca.
Dunia hari ini ikat mengikat, kait mengait. Ini bukan bermakna dunia kini
tanpa sempadan. Wilayah masih ada - sempadan negara masih wujud.
Yang semakin tidak ada sempadan ialah modal. Sempadan kini dikoyak dan
dilanggar oleh modal tanpa tentangan. Modal kini bergerak ke sana sini tanpa
sempadan.
Dalam siri tulisan yang lalu, saya telah menyatakan bahawa modal milik kaum
kapitalis dan syarikat antarabangsa tidak ada agama, tidak ada negara, tidak
ada bangsa, tidak ada kesetiaan, tidak ada bahasa. Kiblat modal ialah
keuntungan maksimum.
Hukum dan watak modal tidak ada perbezaan sama ada di London, New York, di
Mekah atau di Senaling. Modal dari permulaan sejarah dunia bertujuan untuk
mencari keuntungan. Ketika ekonomi kita tidak menentu, tiba-tiba Najib tmengumumkan bahawa bajet
yang baru diluluskan akan disemak kembali. Ini belum pernah berlaku. Seharusnya
berita ini menjadi perbincangan berterusan. Tapi seperti biasa media mandul negara kita tidak melihat tanda dan makna
dari kenyataan Najib ini. Tuan dan Encik Kang Kong dari fakulti ekonomi
universiti tempatan tidak memahami makna dan tanda kenyataan ini.
Untuk saya apabila Najib membuat kenyataan sedemikian bermakna Malaysia
sedang menuju ke ruang krisis ekonomi yang maha sangat. Kenyataan itu memberi
makna pendapatan negara makin merosot. Hutang negara makin meninggi. Bunga
hutang makin bertambah. Nilai ringgit makin jatuh.
Pendapatan merosot kerana harga dua jenis minyak makin menurun. Harga minyak
sawit dan minyak petrol yang menjadi asas pendapatan negara semakin murah.
Jelas, pendapatan negara merosot kerana harga minyak mentah sedang turun
dalam pasaran dunia. Lambakan bahan bakar petrol di pasaran dunia menjadikan
harga minyak mentah mendadak jatuh. Kini harganya di bawah AS$40 untuk satu
tong.
Harga minyak sawit juga jatuh. Ini kerana minyak sawit bukan lagi bahan
mentah monopoli Malaysia. Zaman kita menjadi jurupandu telah tamat. Indonesia
kini menjadi pengeluar utama. Maknanya apabila pengeluaran bertambah tapi
permintaan masih di tahap lama, maka harga pasti akan jatuh.
Dalam masa yang sama barang eksport buatan Malaysia tidak diperlukan dalam
pasaran dunia. Permintaan dunia semakin menguncup. Kilang pembuatan bahan
eksport kita kini tergugat.
Dari sini kita mula terbaca tentang berita bagaimana anak mahasiswa sedang
mengikat perut. Duit pinjaman PTPTN mereka dihantar pulang untuk menampung
keluarga.
Kita juga mula terdengar bagaimana ada ura-ura untuk menjadikan semua duit
PTPTN sebagai hutang tidak mengira dapat 4 pointer atau sarjana kelas pertama. Kita mula terdengar bagaimana tidak ada lagi pengambilan pekerjaan di
jabatan kerajaan. Kita juga mula mendengar bahawa semakin ramai graduan dengan
ijazah perguruan tidak mendapat kerja. Jumlah graduan pelbagai ijazah tanpa
kerja semakin bertambah.
Dalam masa yang sama kita juga terbaca tahun lalu 25,000 orang pekerja dari
pelbagai jurusan telah diberhentikan. Paling memeranjatkan adalah berita 250
juruterbang MAS hilang kerja.
Tiba-tiba kita terbaca bagaimana Najib memberi ingatan kepada jabatan
kerajaan agar berbelanja dengan berhemah. Ramai melihat kenyataan Najib ini
sebagai lawak. Tetapi hakikatnya Najib tahu data yang lebih lengkap dan lebih
terperinci, justeru Najib membuat seruan itu.
Untuk saya semua ini adalah tanda-tanda bahawa ledakan ekonomi akan sampai. Di luar negara perang berterusan di Timur Tengah. Kuasa imperialis yang
dikepalai oleh Amerika telah menyerang Syria selama empat tahun. Rancangan
Amerika bersama Arab Saudi dan Turki kelihatan gagal. Perang Syria ini sedang mengancam bukan hanya negara Arab malah menggoyang
kestabilan politik Eropah dengan kesampaian warga pelarian perang. Yaman sebuah
negara paling miskin dalam dunia sedang diserang dan dibom oleh Arab Saudi dan
kuncu-kuncu dari Negara Teluk.
Dalam masa yang sama perang masih berterusan di Iraq dan Afghanistan. Di
Pakistan, Somalia dan Nigeria, ledakan demi ledakan terus berlaku. Pertempuran
antara pihak yang berkuasa dengan yang dirampas kuasa berterusan. Mayat
kedua-dua belah pihak terus bergelimpangan.
Apa akan terjadi pada tahun 2016 ini?
Saya dengan penuh keyakinan melihat tahun 2016 ini sebagai permulaan zaman
meleset yang lebih buruk dari zaman The Great Depression tahun 1929. Dari pengamatan saya, apa yang sedang berlaku dalam negara kita ini sedang
berlaku juga di negara-negara lain di Asia, Afrika dan Amerika Latin. Pada
hemat saya tidak banyak perbezaan antara kita dengan negara Dunia Ketiga yang
lain.
Kacau bilau ekonomi ini bukan hanya dalam negara kita sahaja. Di mana-mana
pun dalam dunia yang mengamalkan sistem ekonomi kapitalis kekacauan ekonomi
sedang berlaku.
Di Eropah - kita telah melihat apa yang telah berlaku di Greece. Kini wabak
Greece sedang menjangkiti Itali, Sepanyol dan Portugal. Di Amerika Latin kita
melihat negara Argentina dan Mexico tidak ada keupayaan untuk membayar hutang.
Secara ilmiah – sama saperti kiraan algebra dalam ilmu hisab – empayar
Amerika yang berasaskan kertas hijau yang dipanggil dolar akan runtuh. Ini
hukum ekonomi, tak kira ekonomi sosialis atau kapitalis. Jika hutang negara
bertapuk-tapuk maka hutang ini akan menenggelamkan negara.
Amerika yang terus mencetak kertas hijau yang dipanggil dolar telah sampai
ke satu tahap di mana dolar ini tidak diyakini lagi. Hilangnya keyakinan
terhadap dolar adalah permulaan tahap keruntuhan empayar Amerika.
Sejarah dolar begini: Sesudah Perang Dunia Kedua, Amerika Syarikat mengambil
tempat Britain sebagai juara utama kuasa imperialis dunia. Selama dua puluh
tahun sesudah perang, Amerika menjadi jurumudi ekonomi kapitalis dunia. Ekonomi berkembang. Dolar berkuasa di mana-mana. Pasaran baru dibuka. Produk
baru dicipta. Dunia kapitalis Amerika dan Eropah berpesta seperti tidak ada
kelmarin dan esok. Ini ketika dunia diperintah oleh empayar Pax Americana.
Bermula pada tahun 1971, dolar tidak lagi disandarkan dengan emas. Amerika
mencetak kertas hijau yang dipanggil dolar untuk membayar hutang Perang
Vietnam. Untuk ganti emas, Amerika membuat perjanjian dengan Saudi – pengeluar
utama minyak – untuk memaksa supaya jual beli minyak petrol wajib menggunakan
kertas hijau ini. Amerika menjadi pengeksport kertas hijau. Maka muncul apa
yang dipanggil Petrodollar.
Tujuh puluh tahun sesudah perang dunia tamat, era Pax Americana sedang
berakhir. Zaman tepu telah masuk. Kong kalikong Amerika bersama Saudi dalam hal
jual beli petrol ini telah sampai ke tahap akhir. Semakin ramai negara telah
berani meminggirkan dolar dalam urus niaga mereka – sama ada jual beli minyak
atau jual beli bahan yang lain. Semua ini adalah tanda hari-hari akhir untuk dolar dan Pax Americana.
Sabar. Jangan terlalu cepat. Hari-hari akhir dolar ini pasti akan sampai.
Tentang ini saya cukup yakin. Dalam masa yang sama saya memberi ingatan bahawa
bencana besar akan sampai untuk kita semua. Jangan lupa Saddam Hussein dan
Gadaffi menjadi arwah kerana mereka mahu membawa Iraq dan Libya meninggalkan
dolar dalam hal jual beli minyak. Lihat apa yang sedang terjadi kepada Libya
dan Iraq.
Ini hukum modal. Ini hukum ekonomi kapitalis. Ianya tidak mudah disingkir
dan tidak mudah diketepikan. Kaum pemodal antarabangsa sedang menyusun dan
sedang mengatur. Pada ketika ini warga Malaysia sedang berhadapan dengan Najib dan
panglimanya dari United Malays National Organisation. Mereka ini secara sedar
dan mungkin secara tidak sedar adalah bidak catur dalam kerangka kuasa imperial
Amerika.
Ketika kita berhadapan dengan Najib dan kuncu-kuncunya kita juga wajib sedar
bahawa kuasa imperial Amerika sedang mengatur strategi dan membuat persediaan.
Justeru kita sendiri sedang berhadapan dengan
TPPA yang menjadi sebahagian dari
strategi kaum pemodal.
Ada satu lagi perancangan yang sedang diatur dan disusun. Kaum pemodal
antarabangsa sedang menyediakan perang. Untuk kaum kapitalis, perang ialah
perniagaan yang amat menguntungkan.
Justeru saya ingin bertanya, apakah kita semua sedar bahawa perang dunia
sedang dirancang?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan